Sabtu, 23 Januari 2016

Kaedah Kiraan Zakat Emas Dan Perak


Zakat Emas Dan Perak

Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram). Jumhur fuqaha telah menyandarkan nisab wang kepada nisab emas (85 gram).
Dalil Wajib Zakat:
Dalil Al-Quran

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya :
“Dan (ingatlah)orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
(Surah At-Taubah : Ayat 34)
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”(Hadis riwayat Abu Daud)
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak :

 Emas Perhiasan Wanita (اَلْحُلِّى)

  • Iaitu emas yang digunakan untuk perhiasan badan wanita, perkakasan atau perabot sama ada digunakan sekali-sekala atau berterusan. Emas perhiasan wanita wajib dizakat apabila jumlah beratnya melebihi ‘uruf(adat kebiasaan). Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram (kadar uruf semasa).
  • Contoh:
    [(Berat emas – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%]
    (900 gram – 800 gram) x RM144.38 = RM14,438 x 2.5% = RM360.95

 Emas Bukan Perhiasan غَيْرُالحُلِّى )

  • Iaitu emas yang dimiliki bukan untuk tujuan perhiasan sama ada dalam bentuk matawang, jongkong, tempa, barang kemas dan seumpamanya.
  • Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan wanita. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram.
  • Contoh:
    Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = Jumlah Zakat
    100 gram x RM144.38= RM14,438 x 2.5% = RM360.95

 Emas Bercagar

  • Emas yang digadai adalah milikan sempurna dan wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.
  • Contoh:
    [(Berat emas semasa x harga semasa) – Nilai Pinjaman – Upah Simpan] x 2.5% = Jumlah Zakat
    [(200 gram x RM144.38= RM28,876) – RM10,000 – RM76] x 2.5% = RM470

 Perak

  • Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak595 gram atau lebih
  • Contoh:
    600 gram perak x RM2.45(segram pada 30 April 2014) x 2.5% = RM36.75
sumber rujukan :
http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-emas-perak/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan